Showing posts with label Artikel Utusan Sarawak. Show all posts
Showing posts with label Artikel Utusan Sarawak. Show all posts

Tuesday, February 24, 2009

Artikel Utusan Sarawak

Tajuk: Bidasan Kepada Artikel Utusan Sarawak Pada 18 Febuari 2009

Salam sejahtera saya ucapkan kepada semua terutamanya kepada wartawan/penulis Utusan Sarawak iaitu Encik Johnson Kadam. Tujuan saya di sini adalah untuk membidas atau memperbetulkan sedikit apa yang terkandung dalam artikel yang dikeluarkan oleh Utusan Sarawak pada 18 Febuari 2009 yang bertajuk “Penentuan Hujung Mac – Pekerja Western Digital Hilang Pekerjaan atau Sebaliknya?”.

Untuk pengetahuan En. Johnson bahawasanya semua pekerja WD sudah dan ada juga yang bakal menerima notis yang bertajuk “DEFERMENT OF RETRENCHMENT DATE” yang diedarkan oleh pihak pengurusan WD. Apa yang terkandung di dalam notis tersebut, adalah satu berita yang tidak mengembirakan untuk semua pekerja WD di mana tidak terdapat tarikh yang spesifik dinyatakan sampai bilakah penangguhan ini berlaku. Walaupun jangkamasa hingga akhir bulan Mac dinyatakan di dalam MEMO melalui email yang telah dihantar tetapi jangkamasa tersebut hanyalah merupakan satu matlamat persetujuan antara WD dengan pembeli yang berminat memeterai perjanjian jual-beli syarikat. Tetapi hakikatnya semua pekerja masih dalam keadaan berisiko di mana penangguhan ini berlaku ke satu tarikh yang tidak diketahui. Notis tersebut umpama satu notis terbuka yang tiada penghujungnya. Adakah ini satu strategi pihak atasan WD? Sengaja dilakukan supaya apa-apa perubahan semuanya terpulang kepada mereka dan pekerja tidak mempunyai kuasa untuk menyatakan atau melakukan apa-apa tindakan. Adilkah tindakan pihak pengurusan itu? Itu belum dikira kepada impak ‘maksima’ yang berlaku terhadap pekerja kerana tiada siapa yang tahu bilakah tarikh keramat itu tiba. Apa ingin saya nyatakan, semua pekerja seperti “bergantung tidak bertali”. Bagaimanakah pengakhirannya? Maka tidak dapat dinafikan pelbagai spekulasi-spekulasi yang berlaku. Tetapi siapakah yang bersalah? Bagi saya pihak pengurusan/atasan WD adalah penyebab perkara ini berlaku dan dengan tidak langsung semua pekerja telah terjebak dengan jerat yang mereka pasang sebagai strategi untuk tidak mahu menanggung kerugian.

Tidak patutkah para pekerja berasa marah, kecewa dan merana oleh tindakan mereka? Tidakkah anda rasa ini umpama satu penipuan yang dirancang dengan teliti? Atau adakah ini juga satu konspirasi politik?

Memang benar apa yang dinyatakan oleh pekerja yang menawarkan diri untuk ditemubual dalam artikel berkenaan iaitu hilangnya motivasi dan konsentrasi pekerja dengan komitmen kerja yang diberi, tetapi untuk pengetahuan anda tidak semua pekerja yang hanya hadir ke tempat kerja tanpa melakukan apa-apa kerja kerana juga terdapat segolongan pekerja yang terpaksa bekerja kerana golongan ini merupakan golongan yang berada di bawah pemerintahan atau pengurusan ‘kuku besi’. Bukan juga mereka tidak berani atau tidak mahu memberontak tetapi mereka merupakan golongan yang terdedah dan mudah disasar oleh pihak pengurusan untuk diambil tindakan. Golongan terbabit kebanyakannya adalah dari golongan pekerja yang mempunyai tanggungan keluarga. Jadi adilkah untuk mereka? Bagaikan ‘jatuh ditimpa tangga’. Di mana ‘hati budi’ pihak pengurusan?

Ya, saya juga bersetuju dengan pendapat beliau kerana betapa berkesannya strategi manipulasi pihak atasan WD di mana semua pekerja mengalami impak yang negatif dari perancangan yang mereka lakukan. Tetapi ingin saya bertanya kepada pihak media, adakah wajar untuk para pekerja membuat perancangan masa depan yang bakal mereka hadapi selepas diberhentikan kerja? Di mana mereka bukan sahaja berdepan dengan masalah dalam mencari pekerjaan tetapi mereka juga berdepan dengan masalah ekonomi global, harga makanan dan barang keperluan yang kian meningkat di samping bersaing untuk mencari nafkah untuk keperluan hidup? Ya, kerana masyarakat kini harus membuat perancangan yang sebaik mungkin untuk menjamin masa depan yang cerah yang bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi untuk generasi akan datang. Ini merupakan tanggungjawab, dan ini bererti pekerja WD SO1 sanggup untuk memikul tanggungjawab ini sekiranya mereka dibuang kerja kelak. Tetapi apa yang paling mendukacitakan ialah usaha ini tidak dihargai oleh pihak atasan kerana penundaan yang kerap kali dilakukan telah membuat perancangan mereka tergendala di samping memberi kerugian akibat daripada tindakan pihak atasan yang tidak beretika. Memang juga tidak dapat dinafikan ada juga terdapat pekerja yang ingin pergi melancong dan bercuti kerana pada pendapat saya mereka berhak untuk membelanjakan duit mereka kepada sesuatu yang mereka rasa berbaloi untuk dibuat. Mungkin ada juga yang tidak sedar bahawa dengan pergi bercuti mereka dapat merehatkan minda dan perasaan sebelum mereka menempuh kehidupan baru selepas diberhentikan kerja.

Berbalik dengan hal pampasan, ramai yang tertanya-tanya adakah mereka berhak untuk menerima 1.5% sedangkan dari surat pakej yang diberi, mereka akan menerima 1.25% pada hari akhir bekerja dan 0.25% selebihnya akan dibayar dalam masa 60 hari itupun bersyaratkan dengan sekiranya penutupan kilang berlaku dengan lancar.Tetapi dengan situasi yang menyakitkan hati ini, para pekerja berdepan dengan risiko untuk 0.25% untuk tidak dibayar kerana terdapat pekerja yang memberontak dan sebagainya. Persoalannya, adakah 0.25% ini merupakan satu ugutan supaya semua pekerja perlu tunduk dengan setiap keputusan atau arahan yang diberi oleh pihak pengurusan atau pihak atasan?

Akhir sekali ingin saya nyatakan bahawa pekerja WD SO1 sekarang amat terdedah dengan risiko dan secara tidak langsung menjadi mangsa kerana terjebak dalam perangkap pihak majikan. Jadi, saya rasa sekiranya diberi peluang semua pekerja WD S01 yang terlibat dan menjadi mangsa ini ingin sekali untuk menyatakan pendirian mereka dan dilema mereka secara terus kepada Timbalan Ketua Menteri, Datuk Tan Sri George Chan Hong Nam atau Menteri Muda, Datuk Haji Daud Abdul Rahman.

Sekian. Terima kasih.